Kehadapan Ayu Raudhah yang dihormati dan
dikasihi Allah,
Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah di
atas perubahan yang terjadi pada diri Ayu Raudhah. Mungkin, ini lah keberkatan
10 malam terakhir Ramadhan. Semoga ia menjadi titik permulaan kepada siri
perubahan yang lebih baik di masa akan datang.
Kata-kata Ayu pada status Facebook terbaru
berikutan penerbitan satu penyataan saya terhadap kebejatan akhbar Sinar Harian
dalam menerbitkan artikel palsu berhubung vaksinasi amat saya hargai.
Keberanian sebegini sangat saya sanjung dan doa saya sebelum ini yang
menginginkan Ayu menjadi seperti Nusayba
Binti Ka’ab Al Ansariyah akan dimakbulkan oleh Allah. Moga Ayu akan menjadi
Difaaun Nabiy kepada sebuah kebenaran.
Ya, kebenaran tentang vaksinasi akan dibuktikan
dalam sedikit masa lagi. InsyaALLAH. Sekiranya kita berpegang kepada keinginan
untuk mencari kebenaran, maka pasti Allah akan mudahkan jalan itu untuk kita.
Berita hanyalah wadah membentuk public opinion. Taraf nya spekulatif dah tidak diiktiraf pun sebagai sumber autentik dlm penyelidikan.Oleh disebabkan Pro Vak mengangkat sumber spekulatif, maka jangan pula disalahkan Pro choice mengangkat sumber yg sama. Mengkritik sumber Pro Choice adalah sama kalian mengkritik diri kalian sendiri.Provax juga kadang lebih sudu dari kuah. Spin kenyataan Dr Maza kata "tidak vaksin, berdosa".Padahal Dr Maza sebut sekiranya ibu bapa menolak vaksin, kemudian tidak ada usaha langkah pencegahan dijalankan, maka ibu bapa berdosa kerana mendedahkan anak kepada bahaya.Spin lawan spinHujah lawan hujahBaru adil!- Ayu Raudhah[i]
Betul, akhirnya Ayu mengakui akan kepelbagaian
sumber media pada hari ini pasti mempunyai unsur spekulatif dan tidak dapat
diiktiraf sebagai sumber autentik dalam penyelidikan.
Menyedari akan hal itu, maka saya menganjurkan
kepada Ayu supaya kita harus membuat satu kriteria yang ketat dalam memilih
sumber yang harus digunakan dalam penghujahan kita.
Ini termasuklah artikel dan jurnal perubatan yang
menaikkan sentimen slogan anti vaksinasi seluruh dunia. Beberapa artikel
tersebut telah saya dedahkan dalam siri surat sebelum ini. Lebih banyak
kritikan terhadap lambakan artikel sampah itu akan menyusul selepas ini secara
beransur-ansur.
Dan dengan ini, saya juga berdoa agar semua
golongan anti vaksin dan Pro choice akan berhenti menyebarkan segala berita
fitnah dan mengelirukan ini. Ayu juga tidak harus terkecuali dari desakan ini.
Apa-apa pun, saya terbitkan kembali gesaan saya
terhadap Sinar Harian disini agar dapat dilihat dan dinilai oleh pembaca lain.
Semoga
Kebenaran berpihak pada yang hak,
Dr,
Jacknaim.
******
Vaksin: Sinar Harian Harus Ada Telur Untuk
Menerbitkan Berita Yang Shahih[ii]
Muhamad Na'im Ab Razak·Tuesday, June 28, 2016
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia
wajar mengambil perhatian tentang kebejatan media kita pada hari ini. Saya
begitu kecewa sekali dengan perbuatan tidak bertanggungjawab media terutamanya
akhbar Sinar Harian yang banyak menyebarkan berita tidak benar berhubung isu
perubatan moden terutamanya isu vaksin.
Media sengaja mensensasikan berita tersebut dengan
isu Adverse Events Following Immunization (AEFI) vaksin yang sedang hangat
diperkatakan pada masa kini. AEFI adalah salah satu keadaan yang sudah sedia
dimaklumi oleh majoriti ahli perubatan dan Badan Kesihatan Sedunia juga telah
sekian lama menyediakan panduan tersebut untuk makluman para doktor di seluruh
dunia.
Panduan tersebut diterjemahkan kepada Kesan
Adverse Berikutan Pelalian dalam panduan yang dikeluarkan oleh Bahagian Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya lebih suka AEFI ini diterjemahkan kepada
Kejadian Tindakbalas Sampingan Berikutan Imunisasi. Ini Kerana, tidak semua kesan sampingan itu
berlaku disebabkan oleh vaksin itu sendiri.
An
Adverse event following immunization (AEFI) is any un toward medical occurrence
which follows immunization and which does not necessarily have a causal
relationship with the usage of the vaccine. The adverse event may be any
unfavourable or unintended sign, abnormal laboratory finding, symptom or
disease.
Berdasarkan keadaan ini, segala reaksi dan tindak
balas yang terjadi termasuklah rasa tidak selesa dalam rangkuman masa tertentu
dikira sebagai AEFI. Ini termasuklah seseorang itu mendapat kecederaan otak
kerana terjatuh dan kepalanya terhantuk kepada meja akibat rasa pening setelah
diberi vaksin untuk HPV.
Atau meninggal dunia disebabkan serangan jantung
kerana pesakit terkejut sewaktu menerima suntikan vaksin juga dikira sebagai
AEFI.
Dalam erti kata lain, apabila menerima laporan
tentang AEFI, maka kita harus berfikir secara analitikal dan kritikal. Adakah
kesan sampingan itu berlaku secara langsung disebabkan oleh vaksin itu sendiri
atau dipengaruhi oleh benda lain.
Sebagai contoh, Ayu sedang makan pisang dan
tercekik pisang kerana saya tiba-tiba datang melakukan surprise dengan menutup
mata ayu dari belakang dan ditakdirkan dia meninggal disebabkan itu maka
kematian Ayu adalah disebabkan oleh komplikasi memakan pisang. Selepas kematian
Ayu, sekumpulan ahli kumpulan #masyarakatperlutahu mula menjalankan kempen
memboikot pisang kerana pisang boleh menyebabkan kesan sampingan iaitu mati
mengejut setelah memakannya.
Kes yang sama dapat dilihat dengan penyiaran artikel "Tak boleh bergerak
selepas terima vaksin”[iii]oleh
Wartawan Sinar Harian pada 27 Jun 2016.
Akhbar tersebut dengan jelas sekali memberi maklumat bahawa pesakit
sudah mempunyai masalah ketidaknormalan pada otak.
“Sebelum
Nasrin lahir doktor ada maklumkan anak dalam kandungan bermasalah di bahagian
kepala, tapi Alhamdulillah dia lahir macam bayi normal. Fizikal dia sempurna,”
katanya..............Menurut Nor Wahida, selepas kejadian itu dia hanya
mendapatkan rawatan tradisional.
Artikel ini dengan jelas menunjukkan bahawa
wartawan mengambil cerita secara berat sebelah dan tidak memuatkan pandangan
doktor perubatan berhubung keadaan kesihatan pesakit. Cerebral Palsy berlaku
akibat kecederaan otak yang boleh disebabkan oleh pelbagai keadaan samada
sewaktu dalam kandungan, kelahiran dan sejurus selepas kelahiran. Majoriti
adalah disebabkan sewaktu dalam kandungan. Diagnosis penyakit biasanya dibuat
selepas pesakit berumur 2 tahun memandangkan perkembangan otak bayi sudah
sempurna pada waktu ini.
Kes “Muhamad Muhaimin lumpuh anggota badan selepas
terima suntikan[iv]”
yang pernah disiarkan pada 4 Julai 2012, dan artikel berjudul “Bayi derita dakwa
klinik cuai beri suntikan”[v]
pada 29.8.12 juga telah menggunakan sensasi secara melampau tanpa mengambil
pandangan doktor perubatan. Ahli perubatan tidak pernah menafikan risiko AEFI
yang mana adalah kecil berbanding manfaat mendapatkan vaksinasi.
Tambah mendukacitakan saya adalah apabila mereka
menerbitkan berita berita dari ahli pseudoscience yang banyak menipu masyarakat
dengan menggunakan gelaran doktor palsu dan menyebarkan pembohongan secara
berterusan dan berpanjangan[vi].
Berita sebegini lah yang akan menambah sakit dalam otak masyarakat kita. Lantas
ia membawa kepada mayarakat yang buta untuk melihat kebenaran dan tuli dalam
menerima kritikan yang berlandaskan bukti shahih.
Dalam hujah saya terhadap pengguna facebook Ayu
Raudhah yang dipercayai menyamar sebagai doktor dalam facebook (sebelum ini
menggunakan identiti sebagai jururawat) baru-baru ini, saya ada mendedahkan
point tentang penerbitan artikel jahat oleh doktor palsu, seorang pengamal
herba yang berbicara tentang vaksin sebagai penyebab autism. Penyelidik herba
yang tidak bertanggungjawab ini telah menimbulkan kekeliruan terhadap
masyarakat dengan menggunakan nama Doktor di hadapan pangkal nama untuk
menampakkan tulisan ini kelihatan seperti akademik.
Sinar Harian telah memalukan seluruh negara
Malaysia apabila menyiarkan artikel tulisan ini dan ia menggambarkan betapa
media massa sungguh tidak bertanggungjawab dengan disiplin ilmu dan menambahkan
lagi budaya fitnah di akhir zaman ini.
Penulis Ismail Hashim Yahaya yang menulis buku
Media = Setan terbitan DuBook Press Sdn Bhd pasti bersetuju dengan pendapat
saya ini. Beliau menyifatkan media pada hari ini sebagai manipulasi dan
pelacuran berita merebak bebas sehingga manusia semulia mana sekalipun tidak
dapat lagi membezakan antara yang hak dan yang batil.
Perkembangan sebegini amat menakutkan dan wajar
dibendung dalam kadar yang segera. Kementerian Kesihatan Malaysia pada pendapat
saya patut mendapatkan khidmat nasihat peguam untuk menyaman penerbitan berita
berbentuk fitnah sebegini. – Dr. Jacknaim
[i] https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=144577472629938&id=100012330575497&pnref=story
[ii] Muhamad
Na'im Ab Razak, "Vaksin: Sinar Harian Harus Ada Telur Untuk Menerbitkan
Berita Yang Shahih", https://www.facebook.com/notes/muhamad-naim-ab-razak/vaksin-sinar-harian-harus-ada-telur-untuk-menerbitkan-berita-yang-shahih/1421107261248454
[iii]
Wartawan Sinar Harian, "Tak Boleh Bergerak Selepas Terima Vaksin", 27
Jun 2016.
http://web.archive.org/web/20160627013616/http://www.sinarharian.com.my/nasional/tak-boleh-bergerak-selepas-terima-vaksin-1.536602
[iv]
Wartawan Sinar Harian, "Muhamad Muhaimin lumpuh anggota badan selepas
terima suntikan", 4 Julai 2012
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/muhamad-muhaimin-lumpuh-anggota-badan-selepas-terima-suntikan-1.63554
[v]
Wartawan Sinar Harian, "Bayi derita dakwa klinik cuai beri suntikan",
29 Ogos 2012
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/bayi-derita-dakwa-klinik-cuai-beri-suntikan-1.79944
[vi]
Dr. Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AHG ), "Berjudul Kajian Vaksin Dan
Autisme Disembunyikan? ", 23 April 2004
http://www.sinarharian.com.my/rencana/kajian-vaksin-dan-autisme-disembunyikan-1.273463