7: RAMPASAN KUASA Diskusi Media Sosial





 Ke hadapan buah hatiku Ayu Raudhah yang dirindui,

Terima kasih kerana tidak mengabaikan saya di sebalik kesibukan tugas dan aktiviti harian Ayu. Benarlah kata pujangga dulu iaitu “Sekiranya kamu cintakan seseorang, nescaya kamu akan mencuri sedikit masa untuk diluang bersama orang tercinta biar sesibuk mana pun kamu.”

Semoga mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah dalam menjalani hari hari terakhir Ramadhan ini. Semoga Ramadhan ini bukan yang terakhir untuk kita.

Cita-cita saya adalah untuk beraya bersama-sama Ayu. Saya nak datang jumpa bakal mertua saya ni. Mesti lagi sweet kan bila kita menyambung kisah cinta kita selepas bernikah?

Adapun demikian, elok lah kiranya saya menunaikan janji yang dilakar pada warkah yang lepas.  Ia tidak lain tidak bukan berkenaan dengan kewujudan  page facebook yang membahaskan seribu macam isu dengan melangkaui sempadan disiplin ilmu yang ditetapkan. Hal tersebut sudah saya jelaskan dalam surat sebelum ini.

Oleh itu, saya sendiri tidak suka akan perbicangan melalui page facebook yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Walaubagaimanapun saya tidak menafikan bahawa ia medium terbaik hari ini untuk mendekatkan pelbagai professional dengan orang awam dalam menjelaskan isu semasa.

Selain dari niat itu, Ia hanya akan kekal sebagai sembang kosong ataupun lepak kedai kopi versi moden. Minum sendiri sendiri di hadapan alat komunikasi elektronik.


Untuk mereka yang ingin menjadikan medium ini sebagai ruang diskusi ilmiah maka saya akan menghuraikan keempat empat faktor yang saya nyatakan sebelum ini.


Saya berharap Ayu bersetuju sekiranya saya menggunakan isu semasa yang sedang hangat pada waktu kini sebagai contoh kepada huraian saya. Menggunakan contoh page Masyarakat Perlu Tahu dalam artikel ini juga adalah satu kemestian memandangkan ia cukup dekat dengan hati saya. Mengapa saya berkata sedemikian?

Trend artikel dengan hashtag #‎MasyarakatPerluTahu dimulakan oleh seorang doktor perubatan Malaysia yang memulakan siri kempen kesihatan di Facebook. Maaf saya terlupa nama beliau dan saya juga bukan dalam friendlist beliau atau sebaliknya. Ia kemudiannya menjadi satu trend di facebook dan menjadi satu kemestian untuk Team doktor tersebut menggunakan identiti itu dalam siri kempen mereka.

Walaubagaimanapun terdapat individu tidak bertanggungjawab telah merampas takhta dan menubuhkan satu group yang diberi nama Masyarakat Perlu Tahu. Antara admin page ini adalah saudara Abu Hannah yang bertanggungjawab mempromosikan kaedah rawatan semulajadi untuk pelbagai benda.

Secara prinsipnya, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan saudara Abu Hannah dalam usaha beliau menjalankan kesedaran kepada masyarakat untuk isu seperti Penyusuan Susu Ibu yang lengkap kepada bayi. Saya juga tidak ada sebarang masalah dengan tindakan Abu Hannah mempromosi gaya makanan sunnah kerana bagi saya ia selari dengan apa yang dipraktikkan oleh doktor perubatan moden. Sebagai doktor perubatan, saya akui bahawa kaedah nutrisi cara Nabi Muhammad, Al Quran dan Sunnah adalah modul nutrisi terbaik yang pernah saya jumpa.

Bahkan, konsep ambiguiti ini juga terjadi pada saya sendiri apabila menyertai keluarga penulisan DuBook Press Sdn Bhd untuk menyambung siri asal buku Diagnosis yang diterbitkan mereka. Walaubagaimanapun, team diagnosis yang original menerbitkan siri buku diagnosis seterusnya di bawah label syarikat mereka. Dan saya pula menjadi penulis untuk siri DIAgnosis di bawah syarikat penerbitan asal team DIAgnosis original. Oleh itu, wujudlah dua siri buku DIAgnosis yang berbeza di pasaran buku Malaysia tetapi membawa tema yang hampir sama.

Adapun demikian, berbalik kepada isu awal. Walaupun saya bersetuju secara prinsip, akan tetapi banyak yang perlu diperhalusi tentang kewujudan page Masyarakat Kena Tahu memandangkan ia berbentuk Rampasan Kuasa yang menyampaikan maklumat yang tersangat kontra berbanding tujuan awal ia diwujudkan. Apatah lagi ia mula menyampaikan idea dan ajaran salah termasuklah kaedah home delivery yang TIDAK SELAMAT, pemberian ubat alternatif berbahaya berbentuk dadah iaitu Cannabis Oil yang dihasilkan dari ganja, dan gerakan Anti Vaksinasi terancang maka saya perlu memperbetulkan salah faham masyarakat dalam isu-isu ini.

Saya menadah tangan memohon doa dari Rabb yang Maha Mendengar akan pintu hati Ayu akan dibuka untuk bersetuju dengan pendapat saya ini. Bahawa kaedah rawatan yang dinisbahkan sebagai mengikut Nabi tetapi tanpa didasari bukti shahih itu harus diperangi. Bahawa penipuan menggunakan nama Nabi harus dibanteras atas dasar kasih sayang kita terhadap sesama Muslim. Kerana kita tidak mahu saudara kita mempersiapkan tempat duduk mereka dari neraka sepertimana amaran yang pernah diberitakan oleh Kekasih Allah yang kita semua sayangi.

Saya juga berdoa agar Ayu sebagai seorang doktor tidak akan sesekali bersetuju dengan rawatan berbahaya yang dilakukan tanpa pengawasan dan eksploitasi ke atas anak-anak kecil seperti penggunaan madu untuk bayi dan cannabis oil atau ganja secara tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, saya hanya membaca sepintas lalu pandangan atau komentar pengguna tanpa secara langsung menyertai perbahasan di page ini. Namun, saya mendapati bahawa saya kemudiannya sudah tidak dapat membaca lagi semua pos di dalam page ini.  Ia lantas merisaukan saya. 


Ini kerana teknik diskusi yang ada dalam group tersebut tidak mengikut disiplin ilmu yang betul. Adalah penting untuk menggunakan disiplin ilmu yang betul dalam perjalanan untuk mencari kebenaran. Saya berharap akan ada sesiapa yang membaca bab ini akan menyampaikan teguran penambah baikan ini kepada moderator page tersebut. Berikut adalah saranan saya.


YANG PERTAMA harus ada moderator yang mampu mengawal emosi para peserta yang mengambil bahagian dalam diskusi. Moderator ini haruslah yang paling berilmu dalam kalangan peserta yang berbahas. Dan moderator ini juga haruslah dihormati, jujur dan berintegriti. Dalam page Masyarakat Kena Tahu sebagai contohnya, pengendali page itu sendiri di lihat tidak mempunyai integriti. 

Salah seorang moderator page tersebut menggunakan nama samaran Abu Hannah. Paling kritikal apabila beliau membuat pengakuan terbuka di halaman facebook beliau sendiri (rujuk bab 3: belajar dari anak kita) bahawa profil yang menggunakan Nama Samaran itu sebenarnya dikendalikan oleh beberapa orang yang tidak dikenali hujung pangkalnya. Tiada siapa tahu kelayakan akademik untuk dia berbicara dalam sesuatu isu. Dan paling penting, tiada siapa tahu akan integriti beliau. Kredibiliti seseorang adalah penting dalam membuat penghujahan agar tidak ada penyelewengan fakta dilakukan.

Saranan saya adalah setiap page dikawal oleh beberapa orang moderator yang menggunakan identiti sebenar dan tidak menggunakan sharing account profile. Memandangkan perdebatan dalam alam maya akan mengambil masa secara berterusan tanpa henti, maka adalah lebih baik untuk menyediakan jadual bertugas untuk moderator. 

Ada yang berkata bahawa penyediaan page ini adalah untuk suka-suka atau dimulakan oleh seseorang individu maka tidak perlu untuk pergi ke tahap itu. Bagi saya, lihat kembali fungsi page anda disediakan. Kalau sekadar fan page untuk menghebohkan aktiviti dan perkembangan semasa anda,  maka tidak perlu untuk melantik moderator.

Tengok keperluan. 

Akan tetapi saya berpandangan adalah menjadi kewajiban untuk page yang bertujuan memberi pendidikan kepada masyarakat dan diskusi isu semasa seperti Masyarakat Kena Tahu untuk mempunyai sistem moderator ini.


KEDUA, setiap yang berdiskusi harus mengeluarkan fakta fakta yang benar dan bukan penghujahan fakta yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Dalam Islam, tahap kesahihan sesuatu bahan bukti itu amat dititik beratkan.

Apa yang berlaku pada hari ini, masing-masing mengeluarkan fakta yang asing pada tahap latihan yang mereka terima asalkan ia menyokong perbahasan. Secara hakikatnya, apabila bahan perbahasan itu sendiri sudah tidak shahih maka keseluruhan perbicaraan itu akan tertolak secara sendirinya.

Sebagai contohnya, seseorang yang bukan ahli dalam bidang perubatan mengeluarkan artikel perubatan yang diambil tanpa melalui siri tapisan yang ketat, maka ia akan menimbulkan huru hara. 

Walaupun berat untuk kita akui, memang ada doktor perubatan sendiri yang tidak jujur dengan ilmu yang mereka ada. Kenapa? Sebab ego dan merasa diri adalah yang terbaik. Kerana itu saya tidak pernah hairan dengan status beberapa orang pakar perubatan antarabangsa yang mengeluarkan kertas kajian palsu demi untuk mendapat manfaat tertentu. 

Kebanyakan mereka ini sudah menjadi pakar perubatan selama berpuluh tahun. Apabila mereka membuat penghijrahan kepada satu bidang yang kontra dengan mereka, maka ia akan menimbulkan pelbagai persepsi. Contohnya apabila doktor tersebut memilih kaedah homeopathy atau Chiropractic setelah berpuluh tahun melakukan kaedah perubatan moden yang menjadi teras perjuangan mereka. Orang awam mungkin akan memandang ini sebagai penghijrahan setelah mengetahui akan sebuah kebenaran. Ataupun yang boleh kita samakan sebagai journey of faith. Ia tambah meyakinkan apabila para doktor ini mengeluarkan kertas kerja berimpak tinggi dan sensasi. Ingatlah, pihak yang batil juga boleh mencabar pihak yang di pihak benar untuk menafikan kebenaran dan membenarkan kepalsuan.


Firaun berkata: Kalau demikian, bawalah bukti itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar.- Surah AsySyu’araa. Ayat 031.


Tapi hakikatnya, apabila diselidiki maka ternyata mereka mempunyai niat tersendiri. Setiap doktor perubatan yang ‘berpaling’ itu mempunyai sebab spesifik mereka sendiri. Tapi kebanyakan yang saya temui menunjukkan pattern bahawa mereka membina sub kultur kaedah perawatan mereka sendiri. Dalam erti kata lain mengambil separuh-separuh berdasarkan apa yang mereka sukai. Jika sesuatu itu tidak kena dengan nafsu mereka maka ia akan ditinggalkan walaupun menjadi teras kepada sesuatu rawatan penyakit itu.

Vaksin adalah contoh yang terbaik. Maaf jika saya harus berkata dengan tegas bahawa penggunaan vaksin adalah teras kepada prinsip perubatan moden. Ahli perubatan boleh tidak bersetuju dengan kaedah rawatan ini tetapi sebaliknya tidak menimbulkan fitnah kepada masyarakat dengan menimbulkan kekeliruan.

Antara kekeliruan yang mereka lakukan termasuklah mengeluarkan kertas kajian palsu seperti yang saya nyatakan dalam bab sebelum ini. Antaranya adalah dalam menilai kes Wakefield (Vaksin dan autism) dan Tomljenovic L, Shaw CA (Aluminium dan autism). Penerbitan bahaya sebegini boleh mengelirukan masyarakat awam yang tidak arif dengan disiplin membuat kritikan pada satu satu kertas penerbitan akademik.  Ini sudah saya jawab di dalam bab sebelum ini.

Orang awam hanya akan mengambil isi  dari sesuatu penerbitan tanpa mereka tahu bahawa kertas kajian itu shahih ataupun tidak, berkualiti atau tidak, mengikuti disiplin penyelidikan atau tidak, disokong oleh bukti-bukti klinikal atau tidak. Dan paling penting adalah samada kaedah yang digunkan untuk menjalankan kajian itu bertepatan dan bersesuaian atau tidak dengan masalah yang cuba dibuktikan itu.

Asalkan ia kedengaran betul pada fikiran mereka. Sedangkan ia harus dibimbing dengan ilmu. Dan ilmu untuk menilai kesahihan dan kekuatan sesuatu penerbitan artikel kesahihan sedia diterapkan dalam setiap seorang doktor dan menjadi hak eklusif untuk kami sahaja. Kerana kami beranggapan bahawa ada sesetengah perbincangan yang tidak perlu diketahui masyarakat. 

Ini kerana setiap penerbitan artikel yang melalui disiplin penerbitan ilmu perubatan yang betul akan diambil kira dalam proses membuat keputusan untuk menentukan rawatan terhadap pesakit sekalipun ia memberi keputusan negatif dan kontra berhubung sesuatu rawatan itu.

Lambakan artikel perubatan palsu dan tidak berkualiti tinggi ini telah ditafsir secara semberono oleh masyarakat awam tanpa ilmu.

Ini menyebabkan mereka beranggapan bahawa mereka arif dan faham tentang sesuatu isu itu berbanding ahli dalam bidang perubatan. Sayangnya, kefahaman ini didirikan di atas kepalsuan sesuatu hujah. Lantas ia menjadikan kefahaman dan pegangan mereka tertolak secara automaik.

Penerbitan artikel perubatan yang melalui siri disiplin ilmu yang betul memang ada menunjukkan hasil negatif atau yang boleh diertikan sebagai the dark side of vaccine and vaccination. Akan tetapi, hasil negatif ini membolehkan ahli perubatan sentiasa membuat penambah baikan dalam usaha menyediakan bekalan vaksin yang selamat, berkesan, mampu milik, dan senang milik dari semasa ke semasa.

KETIGA, sesuatu perbincangan itu harus dijauhi dari dasar emosi kerana akan membawa lebih banyak musibah. Ia tidak lebih dari sembang kedai kopi yang hanya akan membuang masa.

Antaranya adalah dengan bercerita tentang masalah yang mereka hadapi. Saya tidak pernah menuduh mereka berbohong. Tidak! Bahkan saya kasihan apabila membaca kesusahan dan penderitaan mereka apabila menerima komplikasi. Saya akui bahawa pencegahan penyakit menggunakan vaksin mempunyai risiko tersendiri seperti yang dijelaskan dalam kriteria Adverse Events Following Immunization (AEFI). Akan tetapi, sejauh mana kita dapat buktikan bahawa masalah yang terjadi itu adalah disebabkan masalah tersebut.

Dalam kes ini, saya tidak menyalahkan mereka seratus peratus. Kerana saya sedar bahawa sesetengah dakwaan mereka seperti  ‘doktor sendiri pun tak tahu ini apa dan tak tahu yang ini adalah kesan sampingan. Mereka hanya ketawa dan mengatakan bahawa ini adalah normal.’ Adalah berasas. Ya, taraf pengetahuan dan ilmu seseorang doktor terbatas mengikut kepakaran dan pengalaman mereka. Sebagai contoh, doktor dalam bidang pembedahan mungkin tidak arif dengan ilmu berkaitan dengan doktor bahagian kanak-kanak. 

Kerana itu profesi kedoktoran mendidik para doktor untuk merendah diri dan tidak angkuh. Sepatutnya seorang doktor itu melakukan konsultasi dengan doktor yang lebih senior andai mereka tidak pasti dengan sesuatu simptom atau kesakitan yang dihidapi pesakit. Sekiranya ini tidak dilakukan oleh doktor maka pesakit berhak untuk mendapat pandangan kedua, ketiga dan seterusnya. Sayangnya budaya ini masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya lagi kerana beberapa isu teknikaliti ini masih dalam proses penambah baikan.

Antara faktor emosi yang akan meruntuhkan rangka perbicangan ini adalah apabila ada ahli lain yang menyampuk sebagai tanda kasihan tetapi secara tidak sedar mencurah petrol ke atas api yang membara. 

Sebagai contohnya. “ Ei, teruk la kalau macam tu. Harap awak bersabarlah ya sis. Tak patut langsung doktor tu cakap macam tu dekat awak. Memang doktor tu sekadar doktor cikai sahaja. Bodoh tu doktor! Memang terang terang salah doktor tu. Saman je kak!”

Ketika ini, ahli komentar sudah terpengaruh dengan emosi dan memberi pendapat berdasarkan tindak balas refleks yang keluar dari mulut tanpa melalui proses pentakwilan dan pemprosesan maklumat yang betul di dalam otak.

Seorang lain yang bersimpati pula akan mengeluarkan komen seperti ‘Bagus awak cuba guna cannabis oil ja kak. Saya guna untuk anak saya ok sahaja.’ Ini lagi berbahaya kerana dimasukkan sentimen conflict of interest dan mengesyorkan kaedah rawatan yang tidak terbukti keselamatan dan kesahihannya.

Pilihan sentiasa ada di tangan masyarakat. Anda boleh memilih vaksinasi yang sudah dibuktikan keberkesanannya tetapi mempunyai risiko kesan sampingan. Atau anda boleh memilih teknik rawatan pseudoscience yang tidak terbukti keberkesanannya dan tidak diketahui risiko kesan sampingannya.

AEFI ini perlu diketahui bukan sahaja golongan anti vaksin untuk dijadikan hujah menolak vaksin tetapi golongan pro vaksin sendiri. Kerana setiap dari kita bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan vaksin, diri, masyarakat dan masa hadapan.

Menyedari bahawa vaksin mempunyai risiko, maka ia akan meletakkan para doktor dalam keadaan berjaga-jaga sewaktu menjalankan proses perawatan. Perkara ini jarang diketahui oleh orang awam. 

Kaedah pemikiran yang digunakan oleh doktor adalah berbeza berbanding orang awam. Ya, kami ada masanya menggunakan kaedah rawatan yang berisiko dan berbahaya untuk sesetangah penyakit tapi pada masa yang sama tahu komplikasi dan cara untuk merawatnya. Jika tidak tahu, kami akan merujuk kepada doktor lain yang lebih arif. Kami perlu belajar untuk tahu akan limitasi kami.

Sebagai contohnya adalah penggunaan ubat streptokinase untuk menghancurkan darah beku dalam saluran koronari arteri yang tersumbat dan membawa kepada serangan jantung. Pemberian ubat streptokinase sudah dibuktikan secara klinikal berkesan untuk menghancurkan plak yang tersumbat itu. Tetapi pemberian ubat ini adalah berisiko tinggi dan memerlukan pengawasan rapi seorang doktor sewaktu melakukan rawatan ini. 

Tidak mustahil seorang doktor akan berada disisi pesakit sepanjang masa rawatan berlaku. Pemberian ubat streptokinase boleh menyebabkan risiko alahan dan anafilaksis yang teruk, menyebabkan pendarahan dalam otak, menyebabkan tekanan darah menurun, mempunyai risiko  menyebabkan gangguan ritma jantung dan membawa kepada kegagalan jantung. 

Dan terakhir sekali, walaupun terbukti keberkesanannya tetapi ia juga mempunyai risiko kegagalan rawatan ataupun kegagalan untuk menghancurkan plak yang tersumbat itu. Pada masa yang sama, disebabkan keadaan pesakit yang kritikal itu maka tidak mustahil pesakit meninggal dunia sewaktu rawatan diberikan. Bukan disebabkan oleh streptokinase itu. Tidak! Ia berlaku serentak.

Hal yang sama diguna pakai bila doktor meggunakan vaksin sebagai langkah pencegahan penyakit. Tidak kisahlah bagaimana para Anti Vaksin berhujah dengan mengatakan bahawa vaksin tidak berkesan, hanya untuk keuntungan semata-mata, menjadi agenda konspirasi menjatuhkan umat islam atau digunakan untuk membunuh manusia sekalipun.

Sejarah sudah membuktikan bahawa banyak wabak dapat dihapus atau dibendung dengan penggunaan vaksin. Ya kami sedar ia mempunyai risiko termasuk kematian. Dan kami juga tahu ia mempunyai risiko kegagalan dalam mencegah penyakit itu sendiri. Atau ia boleh menyebabkan kesan sampingan lain seperti secara tidak sengaja berlaku pencemaran kuman yang lain.

Kerana itu diadakan sistem untuk mengawal selia vaksin itu agar disepanjang proses ini berlaku, suatu hari nanti kita akan dapat menghasilkan vaksin yang betul betul selamat untuk anak cucu kita di masa hadapan.

Penghapusan wabak seperti smallpox mempunyai sejarah hitam yang meragut jutaan nyawa sepanjang usaha membanterasnya sehinggalah wabak itu tidak lagi menghantui kita pada hari ini. Dan lantas kita yang berada dalam zon selesa pada hari ini begitu pantas menyalahkan vaksin atas kemudharatan yang berlaku.

Kita katakan bahawa vaksin small pox juga membunuh nyawa manusia sewaktu proses eradikasi penyakit itu. Dalam proses melawan wabak, pasti ada yang mati syahid dan ia diakui sendiri dalam Islam. Adalah tidak adil untuk menisbahkan kematian dalam perang melawan smallpox adalah disebabkan oleh vaksin itu sendiri.

Benar, saya tidak nafikan. Ia boleh jadi disebabkan vaksin itu sendiri seperti isu pencemaran dengan virus monkey pot. Tetapi kesan akhirnya dapat kita lihat dengan penghapusan wabak ini. Tapi yang nyata, dalam proses tersebut ada yang terkorban demi untuk kita mencapai tahap yang ada pada hari ini.


Dari 'Aisyah, isteri Nabi Saw ia menceritakan bahwa ia pernah bertanya kepada Rasulullah Saw tentang wabah kolera. Nabi Saw mengabarkan kepadanya bahwa penyakit itu adalah siksaan yang dijatuhkan Tuhan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Tetapi Tuhan menjadikannya rahmat bagi orang-orang yang beriman. Setiap hamba Tuhan yang menderita wabah itu dan tetap tinggal di negerinya dengan sabar, karena ia mengetahui bahwa yang menimpanya hanyalah apa yang telah ditakdirkan Tuhan saja, maka pahala yang diterimanya sama dengan pahala orang mati syahid."


Apabila orang awam hari ini mengemukakan alasan bahawa penggunaan vaksin gagal mencegah penyakit kerana ada kalanya tetap ada outbreak measles yang berlaku.  Soalan saya cukup senang. Adakah penularan outbreak tersebut berlaku dalam skala besar dan kerap seperti yang berlaku pada era sebelum vaksin dihasilkan?

Sudah semesti tidak.


Antara teori kenapa outbreak berlaku termasuklah terdapat individu yang tidak diberi vaksinasi masuk ke dalam populasi yang diberi vaksin. Kes ini dibuktikan berlaku di Amerika Syarikat. Amerika syarikat telah mengisytiharkan bahawa endemik measles telah dihapuskan dari Amerika Syarikat pada tahun 2000[i] Ini bukan bermakna bahawa sudah tidak ada measles di seluruh dunia. Tidak! Tetapi herd immunity berjaya mengawal penularan wabak ini. Akan tetapi apa yang berlaku adalah kes di mana warga Amerika syarikat yang tidak diberi suntikan vaksinasi telah ke negara yang masih terdapat endemik measles dan membawa pulang penyakit tersebut. Ia dapat dilihat berdasarkan penularan wabak measles di daerah Indiana[ii], San Diego[iii] dan Hennepin country.[iv]

Terima kasih kepada vaksinasi apabila penularan wabak tersebut hanya berlaku dalam kawasan kecil sahaja seperti sekolah atau daerah dan jarang mengakibatkan wabak yang melintasi sempadan beberapa daerah di Amerika Syarikat.

Teori penularan wabak penyakit yang dikutip dari daerah tertentu sepatutnya tidak asing dalam kalangan kita terutamanya golongan agamawan yang turut sama menjadi Pro Choice atau Anti Vaksinasi. Bahkan ia sudah dikemukakan oleh Nabi Muhammad beribu tahun dahulu melalui konsep kuarantin. Akan tetapi, dengan pembangunan pesat sistem perhubungan pada hari ini, adalah mustahil untuk melakukan proses kuarantin secara efektif. Bagi saya, ia hanya akan dapat dilaksanakan apabila lebih dari 70% hingga 95% populasi dunia diberi suntikan vaksinasi bergantung kepada penyakit tertentu.  Adapun begitu, hadis Rasulullah berkenaan peranan kuarantin dalam menangani wabak adalah seperti berikut.


DARI ABDULLAH BIN 'AMIR R.A., Umar melakukan perjalanan ke Syam. Setelah ia sampai di Sargh, datang berita bahwa di Syam sedang berjangkit penyakit menular. Lalu 'Abdurrahman bin 'Auf menceritakan kepadanya bahwa Rasulullah Saw berkata: "Kalau kamu mendengar penyakit menular berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu pergi ke sana. Tetapi kalau penyakit itu berjangkit di negeri di mana kamu berada, janganlah kamu ke luar padanya melarikan diri.


Akan tetapi, lihat sahaja realiti hari ini. Adakah teknik kuarantin akan benar-benar berhasil? Lama kelamaan, proses transmisi penyakit pasti tetap boleh berlaku. Lantas ia menjawab persoalan para anti vaksin tentang dakwaan kegagalan vaksin dalam membendung penularan penyakit. Dan risiko ini akan semakin membesar dan memusnahkan keberkesanan vaksin dari semasa ke semasa.

Adakah kemuncuan semula penyakit ini menunjukkan kegagalan penyakit? Jawapannya sudah tentu tidak. Akan tetapi asas sains terutamanya konsep herd immunity masih tetap releven. Ini kerana kemunculan penyakit tersebut dalam skala yang tersangat kecil berjaya dibendung oleh kesan heard immunity ini. Namun tidak mustahil sekiranya seorang pesakit diphteria melancong ke sebuah daerah di mana 100 peratus penduduknya tidak diberi suntikan vaksinasi akan menyebabkan berlakunya wabak.

Lantas ia membawa kepada persoalan tentang My Right not to Vaccinate my Child! Tajuk ini akan saya huraikan dalam bab seterusnya. Secara ringkasnya, ya! Anda berhak untuk tidak memberi suntikan vaksin terhadap anak anda di bawah satu keadaan tertentu yang dipanggil pengecualian untuk tidak diberi suntikan vaksin. 

Saya tahu Ayu teruja untuk mengetahui nya. Jangan risau, saat itu akan tiba juga tetapi bukan sekarang. Tidakkah Ayu mahu hubungan kita ini berpanjangan dan terus menerus berlaku komunikasi antara kita?

Masa semakin mencemburui saya sewaktu jari jemari terus menari di atas papan kekunci laptop ini. Walaupun demikian, suasana masih muram kerana Sang Mentari masih segan untuk memancarkan sinarnya. Redup cuaca ini bagaimanapun sedikit menyejukkan jiwa saya yang adakalanya membara dengan penipuan dan pemalsuan hujjah oleh golongan berkepentingan yang tidak bertanggung jawab.

Saya harap Ayu tidak akan berbuat demikian biarpun surat balas Ayu sebelum ini mengandungi unsur copy-paste secara tidak bertanggungjawab. 

Baiklah Ayu, ada baiknya saya menulis hujjah terakhir agar saya berkesempatan untuk nap sebentar sementara menanti waktu zohor bertandang. Semoga nap sementara itu dapat memberi tenaga berpanjangan kepada saya untuk menghidupkan malam malam terakhir Ramadhan ini.

CIRI TERAKHIR yang patut ada pada sebuah medium perbincangan media sosial adalah mempunyai tenaga pakar dalam bidang yang diperlukan untuk menentukan hukum dan memberikan penerangan hujjah yang tepat. Namun demikian, adalah perlu untuk meletakkan orang paling berilmu dalam satu satu bidang serta mempunyai kuasa autoriti untuk membuat keputusan. Jika tidak ada, sekurang kurangnya perlu ada ahli dalam bidang tersebut yang boleh memberi jawapan paling minimun dan selamat kepada masyarakat. Sekiranya perlu, persoalan yang tidak terjawab akan dirujuk kepada pihak tertinggi yang memiliki lebih autoriti. 

Apa yang berlaku pada page Masyarakat Perlu Tahu sekarang adalah tindakan untuk menghalang pihak professional perubatan untuk memberi pendapat serta memperbetulkan salah faham masyarakat dalam page tersebut. Diharapkan agar sikap defensif itu dapat diperbaiki dan ditambah baik dari semasa ke semasa. 

Semoga ia akan dapat membenihkan tunas perbahasan yang sihat di masa hadapan demi untuk mencari sebuah kebenaran dan bukan sekadar populariti yang membawa kematian jiwa dan akal sekalipun masih membawa tubuh yang belum membusuk.

Berharap Sahabat Ayu Raudhah Berlapang Dada,
Dr. Jacknaim




[i] Centers for Disease Control and Prevention. Measles, mumps, and rubella- vaccine use and strategies for elimination of measles, rubella, and congenital rubella syndrome and control of mumps: recommendations of the Advisory Committee on Immunization Practices (ACIP). MMWR 1998; 47(RR-8):1-57.
[ii] Centers for Disease Control and Prevention. Notes from the field: measles outbreak-Indiana, June-July 2011. MMWR 2011; 60:1169.
[iii] Centers for Disease Control and Prevention. Outbreak of measles-San Diego, California, January-February 2008. MMWR 2008; 57:203-6.
[iv] Centers for Disease Control and Prevention. Notes from the field: measles outbreak-Hennepin County, Minnesota, February-March 2011. MMWR 2011; 60:421.