4: pro choice pembunuh?





*Yes! I have stopped vaccinate my kids!*

Sehari dua ni rasa sedih dengan isu2 vaksin..
Rasa macam tak nak komen
Tapi ramai yang membodohkan, membingaikan, menuduh golongan minority y xvaxx or stop vaxx (mcm saya) x sayang anak...


Ya Allah... kejamnya mulut2 awak tuh..
Please understand yang x semua budak serasi dengan vaksin..
Ada budak yang allergic, ada masalah immune system,ada masalah kesihatan yang membuat kan mereka xboleh terima vaksin..


Dulu,saya xpernah miss vaksin anak..
Walaupon badan anak bengkak,merah kat paha lepas cucuk,saya tadahkan jugak paha anak saya setiap bulan...
Walaupon ketika itu muka,tangan,kaki,kepala berdarah2 setiap hari, saya gagahkan ambil vaksin setiap bulan..
Bila berdarah2, bawak pergi pakar, sapu macam2 jenis steroid...


Awak ingat saya x sayang anak?
Awak x lalui apa yang saya dan kawan2 senasib saya rasa..
Awak x lalui sleepless night sbb anak menangis,menggaru2, bengkak2 seluruh badan setiap hari..
Awak x lalui kecaman orang2 luar bila tengok anak saya luka2 seluruh badan mcm anak saya ni bawak penyakit berjangkit...
Awak x lalui, bangun tidur terus menangis sebab baju anak,tilam anak berdarah2..
Awak x lalui semua tu...
Maka, bersyukur lah. .. - Noor Hazwani



Buat kekasihku Ayu Raudhah yang masih teguh berjuang menentang arus perubatan moden dan ketamadunan dunia. Saya hargai kesungguhan Ayu dalam memperjuangkan hak golongan Anti Vaksinasi atau yang mereka gelar diri sendiri sebagai Pro Choice. 

Ayu, sengaja saya sertakan bersama sebahagian dari luahan hati Puan Noor Hazwani dalam surat saya kali ini. 

Saya ingin nyatakan disini bahawa saya juga berkongsi kesedihan dengan Puan Noor Hazwani. Membaca nukilan beliau sudah cukup untuk membuat saya menangis. Maaf andai bakal kekasih ayu ini bersifat sentimental. Tapi, adakah lelaki tidak boleh menangis?

Saya juga seorang doktor. Apabila pesakit terutamanya kanak-kanak dibawa dalam keadaan kritikal ke Jabatan Kecemasan, keadaan mereka memang sangat teruk dan menggerunkan. Kami mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka. Apabila gagal, saya juga kerap kali menangis sendirian di dalam bilik rehat doktor. 

Tidak lama! Cukup sekadar satu atau dua minit sebelum saya kembali memulakan tugas. Ada kalanya, saya terpaksa menahan kesedihan berpanjangan tanpa dapat meluahkannya apabila kedaan menjadi terlampau sibuk. Hanya apabila shift saya berakhir, maka saya akan dapat melepaskan kesedihan saya.

Oleh itu, apa yang Puan Noor Hazwani rasakan itu benar-benar merobek jantung saya dan mengguris perasaan saya. Saya bagaikan dapat merasai setiap kepedihan luka beliau. 

Saya sedar, ada dalam kalangan kami yang bertindak melampaui batasan. Mungkin saya juga bertindak zalim dengan membuat tuduhan, mengatakan bahawa golongan anti vaksinasi adalah mementingkan diri sendiri. Tidak memikirkan nasib anak-anak orang lain yang boleh kembali menghidap penyakit berbahaya. Malah, ada dalam kalangan kami yang mengatakan bahawa golongan Pro Choice adalah pembunuh.

Ayu, saya berjanji akan membuat teguran kepada rakan-rakan dalam bidang perubatan agar kami berhenti menilai dengan emosi dan kembali menjadi seorang professional. Biarpun kami berpegang pada pendirian dan teras kaedah perubatan yang kami pelajari, tetapi kami juga harus berlaku adil kepada semua pesakit.

Puan Noor Hazwani sendiri sudah cuba sedaya upaya beliau untuk bertahan. Untuk menaruh kepercayaan terhadap sistem perubatan moden dan vaksinasi sehingga lah beliau menyaksikan penderitaan demi penderitaan yang terpaksa ditanggung permata hatinya. 

Sehinggalah akhirnya Puan Noor Hazwani penat untuk menjadi kuat dan membuat keputusan menghentikan pemberian vaksinasi kepada anaknya. Saya tidak salahkan Puan Noor Hazwani.

Ada masanya, terlampau menyintai seseorang akan membuat kita terasa lemah. Saya juga beberapa kali dihujani dengan perasaan itu. Tapi, saya berpandangan bahawa kita harus belajar untuk menjadi kuat. Kelemahan bukan bererti kita harus menyerah kalah tetapi ia adalah sebaliknya. Kita harus atasi kelemahan itu dan menjadi lebih kuat berbanding semalam.

Saya meneliti dengan penuh minat status Facebook Ayu berhubung rintihan nasib yang menimpa anak-anak kecil ekoran kejadian Adverse Events Following Immunization (AEFI) di Malaysia secara khususnya. Gambar gambar screenshot yang dikongsi ayu adalah daripada post di halaman Group Masyarakat Kena Tahu oleh Ahmad Farid Sainuri pada 13 Jun 2016. Jam 1545.  Ia benar-benar meruntun jiwa saya.


“Anak ke 3,jatuh sakit slps vacc dtap-hib-ipv.muntah dan cirit-birit. Kemudian selang bbrp bln,baby meninggal dunia. Laporan aefi dh dibuat. Bpfk dah buat siasatan juga. Oleh krn baby mmg ada penyakit lain, aefi dinafikan. Tiada kaitan dgn vaksin.............Wiskott aldrich syndrome.”- Angrariyany Ratimin

 

“Sy baru ja jab 5m bby sy 7hb 6, first time bby non-stop crying, bengkak tempat jarum tu 3 hari baru hilang, keras d sekeliling. Sblm ni vac xpnah cmtu n bekas jarum hilang bbrpa jam. Salah pegang ja bby meraung sampai tak keluar suara. Kesian.. sy tggl d Sabah jg, memang x pernah terdedah dgn aefi ni. Baru² ni ank jiran baru 3m meninggal, maybe aefi” - Kuzah Faizah



“Anak sy naik ruam yg teruk but xsure eczema ke x sbb xg jmpa doc selepas beberapa hari vac bcg tu...teruk jgk bhagian muka smpai mcm kesan terbakar.”- Ct NaDeeya


“Anak ketiga saya selepas cucuk sebulan, malam tu meragam tanpa henti dan mata hitam banyak kali naik ke atas. Meragam, meragam dalam pantang sehingga usia dia 40++ hari semasa nak pakaikan pampers saya terperasan ada benda gelembung mcm guli di ari² dia. Haritu juga bawak ke KK dan doctor syak hernia, dpt surat terus refer Hospital Putrajaya utk masuk wad. Baby sya girl, saya xpernah tidur lena sehinggalah hari operation dia di usia 3bulan.”- Azrina Mohd Tajul Ariffin


Pertama, saya harus mengakui bahawa terdapat risiko AEFI  untuk setiap suntikan vaksinasi yang diterima. Dan saya sendiri percaya dan yakin bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia juga memandang serius kes ini. Dalam hal ini, pihak kami tidak berniat untuk menyembunyikan sebarang fakta penting yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat Malaysia.  Percayalah, tidak ada seorang pun dari kami yang mahu anak-anak kecil meninggal dunia. Mata saya tertangkap pada kenyataan Ayu;


Hal ini amat tidak masuk akal. Hanya 1 sahaja kes AEFI dilaporkan di Malaysia sementara Mahkamah Tuntutan Amerika sudah membelanjakan USD30 bilion kepada keluarga mangsa AEFI di Negaranya[1][i]


Dakwaan Ayu dalam ayat ini adalah berbentuk fitnah atau menggambarkan kegagalan Ayu dalam memahami sesuatu isu. Bagi saya, ia juga menunjukkan kesalahan serius dalam memetik satu-satu laporan artikel dan memberikan satu impresi silap kepada masyarakat. Dalam penulisan, disiplin untuk mempersembahkan sesuatu kesahihan bukti itu adalah amat penting. 

Saya sayang Ayu Raudhah dan kerana itu saya tidak pernah berasa jemu untuk mengutus lembaran naskah buat Ayu. Atas dasar sayang inilah, saya mahu Ayu belajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap kenyataan Ayu. Saya bimbang kredibiliti Ayu sebagai pejuang Pro Choice akan tergugat andai suatu hari nanti dibuktikan menyebarkan berita palsu.

Memperbetulkan kekhilafan Ayu dalam post ini sebenarnya meruntuhkan ego seorang lelaki. Ini kerana, saya mendedahkan kepincangan pihak kami selaku Pro Vaksinasi. 

Bahawa rawatan yang kami laksanakan ini terdapat sedikit kepincangan tetapi dalam masa yang sama, optimis untuk memperbaikinya dari masa ke semasa.

Ternyata Ayu telah tersalah tafsir kenyataan mudah yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin melalui artikel terbitan Utusan Malaysia itu.  Berita itu sendiri menafikan dakwaan Ayu bahawa hanya terdapat 1 kes AEFI sahaja di Malaysia.

Yang dimaksudkan oleh Datuk Rosnah adalah terdapat satu kes kecederaan yang berlaku terhadap pesakit yang diberikan suntikan vaksinasi. Ia adalah berbentuk kecederaan mekanikal kesan dari pemberian suntikan yang kurang menepati piawaian pemberian vaksin. Ia merujuk kepada satu kes di mana seorang bayi berusia empat bulan terpaksa menjalani pembedahan ekoran peha kiri anaknya yang disuntik vaksin telah dijangkiti kuman[2][ii]. Kes tersebut sudah disiasat dan staff tersebut diarah untuk menjalani kembali latihan teknik menyuntik vaksin yang betul. Mungkin ramai golongan Pro Choice yang marah dan bertanya mengapa kes ini tidak dibawa ke mahkamah?

Jawapannya, untuk setiap kes kecuaian atau kematian melibatkan pesakit maka kami pihak hospital akan menjalankan proses Inquiry. Bergantung kepada tahap keseriusan kes itu, ia boleh jadi hanya dijalankan di peringkat jabatan, internal (hospital), external (badan luar), negeri malah di peringkat Kementerian juga. 

Ini membuktikan bahawa kami juga ingin membaiki mutu perkhidmatan kami agar dapat memberi yang terbaik kepada masyarakat Malaysia. Hasil inquiry tersebut tidak perlu didedahkan kepada masyarakat. Ia mungkin salah kami dan ia mungkin salah di pihak keluarga pesakit. Tidak perlu kita membuat penilaian rambang untuk satu-satu hal yang tersembunyi jauh di lubang hitam angkasa lepas. Ia hanya akan menyedut kita ke dasarnya dan lemas tanpa mampu kembali untuk kembali ke bumi yang nyata.

Ia juga mengingatkan kita untuk berhati hati menerima berita yang diterbitkan dalam akhbar terutamanya tabloid. Ada kalanya, akhbar menyiarkan berita yang berpotensi untuk melariskan akhbar mereka biarpun menyalahi etika kewartawanan. Berita seperti kes yang saya nyatakan di atas juga boleh dicabar kesahihannya memandangkan ia hanya melaporkan berdasarkan perspektif ibu pesakit yang berpandangan bahawa ada kecuaian di pihak hospital.

Namun, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah bertindak mendiamkan diri biarpun mendapati bahawa laporan tertentu akhbar menjatuhkan kredibiliti pihak kami dan mempunyai unsur fitnah.

Ada kalanya, wartawan sudah jujur dalam menulis berita tetapi fakta fakta kes diubah oleh editor yang bagi saya bertindak keterlaluan dan kurang ajar kerana menyebabkan satu-satu kenyataan yang dikeluarkan seseorang individu disalah tafsir oleh masyarakat. Kenyataan saya juga beberapa kali di salah erti atau di tulis secara out of context apabila editor  menulis apa yang mereka faham dengan kenyataan saya berbanding dengan kenyataan sebenar saya. Saya bukanlah seorang ahli akademik, tetapi terdapat beberapa isu yang mana saya telah diminta oleh beberapa akhbar mengulasnya. Di dapati, berita-berita yang diterbitkan mengeluarkan kenyataan yang tidak bertepatan dengan fakta yang saya nyatakan. 

Adapun demikian , jawapan kepada AEFI yang dipersoalkan Ayu itu sebenarnya dijawab Datuk Rosnah dalam perenggan seterusnya artikel akhbar tersebut. ''Daripada lebih 17 juta dos vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak pada 2010 dan 2011, hanya 14 kes membabitkan kesan sampingan disahkan berpunca daripada vaksin,"[3][iii]

Ayat seterusnya dalam pos Ayu juga mengelirukan saya;

Maasyaallah, hasilnya amat menggemparkan! Kini, hampir 1000 komen membanjiri posting tersebut. Selepas baca laporan masyarakat ini, mudah-mudahan membantu para ibu bapa diluar sana membuat pilihan. Apakah mahu vaksin anak atau tidak? Bancian ini membuktikan bhw laporan AEFI di Malaysia tidak diurus dengan begitu baik oleh pihak berwajib- Ayu Raudhah.

Saya sudah menjejaki pos asal tersebut dan mendapati terdapat kekeliruan fakta dalam pos Ayu. Ayu, saya sayang Ayu. Kalau boleh, lepas ni Ayu boleh berbincang dengan saya terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa sebaran pos, artikel atau gambar. Sebab, saya tidak mahu kredebiliti Ayu dipersoalkan lagi.  Terdapat 185 komen induk setakat jam 3.30 petang bertarikh 25/6/2016. Apabila kesemua komen induk tersebut dikembangkan, jumlah komen tidak melebihi 500 komen pun. Tapi tak apa, ini bukan isu pokok. Saya lebih suka berbincang secara kandungan berbanding masalah teknikalitinya.



Teguran kali ini, Ayu anggaplah sebagai peringatan mesra seorang kekasih untuk buah hati yang tersayang. Inilah yang dipanggil sebagai unconditional love. Tak kisah lah besar mana pun kesalahan Ayu, tetap saya akan maafkan juga!

Ayu tak kisah kan kita saling memperbetulkan kesalahan satu sama lain?

Baiklah kita move on ok! Seperti yang saya katakan pada Ayu tadi. Yang menarik minat saya adalah kandungan luahan perasaan dan perkongsian pengalaman para ibu ini.

Sepanjang saya membaca coretan hati para ibu tadi, saya menangis di sebabkan satu perkara. Bahawa, kebanyakan ibu yang memilih untuk menjadi Pro Choice atau Anti Vaksin bukan kerana mahu membiarkan anak-anak mereka menjadi sarang pembiakan kuman berbahaya seperti polio, diphteria, smallpox atau measles. Tidak!

Mereka berbuat demikian kerana sayangkan anak mereka. Dan mereka tidak sanggup untuk menjadi pembunuh. Melihat anak-anak mereka menderita di hadapan mata mereka adalah satu benda yang amat menyakitkan.

Saya tidak pernah kehilangan seorang anak kandung. Tapi, saya dapat rasakan setiap kepedihan itu. Ada waktunya, saya hanya mampu melihat anak-anak kecil di hadapan saya meninggal dunia kerana tidak ada apa-apa yang dapat kami lakukan. Mereka di bawa dalam keadaan yang cukup teruk sekali. Adalah mustahil untuk kami menghalang kematian tatkala Izrael sudah bersedia di hujung ubun-ubun mereka.

Dan saya juga sedih dan menangis apabila majoriti besar anak-anak kecil yang meninggal di hadapan saya selama lima tahun saya bertugas adalah terdiri daripada anak-anak kecil yang tidak menerima suntikan imunisasi. Mereka berwarganegara Malaysia, Indonesia, Filiphina atau Bajau Laut yang tidak mempunyai sebarang taraf kewarganegaraan yang hanya mempunyai cukup cukup wang untuk makan sahaja. Ada kalanya, mereka terpaksa berlapar. Dan apabila penat, mereka hanya tidur. Sehingga, nafas terakhir perlahan-lahan meninggalkan bumi bersama sebuah kenangan sedih buat ibu bapa mereka. Juga kesedihan pada doktor yang gagal menyelamatkan nyawa mereka.

Kerana itu saya adalah pro vaksinasi!

Saya juga masih percaya dengan masyarakat Malaysia pada hari ini bahawa kita semua ingin yang terbaik untuk anak-anak kita. Saya percaya, tetap ada rintihan jiwa jauh disudut hati ibu bapa yang menyesali tindakan mengambil keputusan untuk tidak  memberi vaksinasi kepada anak-anak mereka.

Kerana mereka bukan tidak percaya akan keberkesanan vaksin mencegah penularan wabak biarpun banyak media melaporkan sebaliknya. Akan tetapi penolakan itu disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah meyalahi prinsip dan kefahaman mereka. Saya tetap yakin dan percaya bahawa jauh di sudut hati mereka, ada satu pengharapan dan doa semoga vaksin yang selamat, halal dan bersih dapat disediakan kepada anak-anak mereka di masa hadapan.

Tapi, mereka trauma dengan kejadian yang menimpa anak-anak mereka. 

Dalam hal ini, saya percaya terdapat lompang di dalam sistem perubatan moden pada hari ini. Saya selaku pendukung kepada sistem kesihatan negara kita juga senada dengan majoriti dari anda semua. Bahawa kita inginkan perubahan. Inginkan satu sistem kesihatan dan perubatan yang jauh lebih baik dari hari ini.

Membaca luahan perasaan para ibu yang remuk itu memberi beberapa perspektif kepada saya. Dan saya benar-benar ingin kongsikan ia dengan Ayu.

Pertama, kita harus memantapkan sistem kesihatan dan perubatan kita. Umum mengetahui bahawa usia perubatan moden di negara kita masih merangkak menuju kedewasaan. Bermula dari penubuhan pasukan Rawatan Bantu Pertama (First Aid) pada tahun 1877, ia kemudian membawa kepada penubuhan King Edward VII’s Medical College pada Tahun 1905 sebelum akhirnya menjadi berkembang pesat.[4] [iv] dan menggantikan sistem perubatan tradisional melayu yang menerima saduran budaya dari India. Mungkin ramai yang akan meragui Aliran perubatan ini. Ada yang mula untuk kembali pada perubatan Homeopathi yang diasaskan oleh Samuel Hahnemann. Tetapi, asas perkembangan sistem perubatan moden pada hari ini adalah berdasarkan bukti saintifik. Saya selaku ahli akan tetap mendukung prinsip ini.

Kedua, kita semua yang ada di sini harus mengakui akan kewujudan AEFI. Dan saya optimis bahawa semua ibu bapa yang ada di Malaysia harus mula membaca simptom-simptom berkenaan dengan AEFI. Mereka harus lebih cakna dalam memerhati perubahan yang berlaku kepada anak-anak.

Ketiga, para doktor dan kakitangan kerajaan juga harus keluar dari kelompok kebiasaan mereka seperti bertindak tidak professional dengan sebarang aduan dari ibu-bapa. Para doktor juga harus tahu bagaimana hendak mengenali AEFI. Sebarang aduan tidak harus dipandang remeh atau dihadiahkan dengan sindiran dan gelak ketawa. Kerana AEFI itu wujud. Para ibu bapa sanggup menerima vaksinasi maka kita juga harus peka akan kemungkinan berlakunya komplikasi tersebut sebagai bukti bahawa kita juga mengambil berat sebarang kesan sampingan yang disebabkan oleh program imunisasi.

Keempat, proses penyaluran maklumat tentang keberkesanan vaksin atau AEFI perlu dilapor dan direkod dengan tepat dan terperinci dan bukan hanya sekadar cakap di kedai kopi. Membaca kisah-kisah yang ditulis oleh para ibu di facebook membuat saya berada dalam dilema. Kedengaran seperti AEFI tetapi sukar untuk dibuktikan. 

Saya akui bahawa sistem ini masih belum sempurna. Mungkin kerana kita masih belum betul-betul masuk ke era sistem pendokumentasian yang lengkap dan sempurna.  Apa yang saya nampak, terdapat usaha yang dijalankan oleh bahagian Farmasi Kementeriaan Kesihatan Malaysia. Contohnya adalah data yang diterbitkan MADRAC Newsletter  pada bulan April 2015 ini.


MADRAC telah melakukan tugasan yang baik dalam membuat pemantauan ke atas kes kes tindak balas adverse yang berlaku dalam kalangan pesakit yang menggunakan sebarang ubat-ubatan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kesan dari laporan yang dilapor oleh doktor, jururawat atau pesakit itu, banyak ubat-ubatan berbahaya atau mendatangkan kesan sampingan yang teruk telah dikeluarkan dari senarai yang disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Adalah penting untuk semua staff perubatan dan kesihatan yang terlibat dalam pemberian vaksin untk mendalami garispanduan yang dikeluarkan oleh KKM bagi tujuan mengawasi keberkesanan da kesan sampingan vaksin. Dokumen bertajuk Guidelines for the Pharmacovigilance on Safety of Vaccines in Malaysia telah diterima oleh World Health Organization untuk diguna pakai bagi melaporkan kes berkaitan dengan AEFI. Ia boleh di muat turun dari laman sesawang WHO[v]

Versi bahasa malaysia garis panduan ini juga telah disediakan sejak dari tahun 2010 lagi untuk kegunaan pihak berkenaan. Dokumen tersebut juga boleh didapati di laman sesawang Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia dengan judul GARISPANDUAN FARMAKOVIGILANS KESELAMATAN VAKSIN[vi]

Dan kelima, ia adalah sedikit sukar untuk dilaksanakan. Iaitu untuk membuatkan golongan yang anti vaksin kembali percaya kepada vaksinasi. Saya sedar, ia adalah pertempuran yang sangat getir sekali dalam keadaan era maklumat tanpa sempadan ini. Kerana sebahagian dari kita sudah membuat penyelidikan rapi tentang bahaya dan keberkesanan vaksin berdasarkan kajian di Internet. Apa-apa pun kepercayaan anda, saya akan kembali perdebatkan dalam bab seterusnya demi untuk mencari sebuah kebenaran.

Keenam, adalah untuk kita semua bersetuju dengan satu benda. Saya yakin dan percaya bahawa desakan ini wujud dan membara dalam diri kita semua. Cuma ada yang menafikan. Bahawa kita semua sedar akan kewujudan wabak, plak dan malapetaka yang berlaku pada masa lampau dan membunuh berbillion nyawa manusia. Saya percaya bahawa kita semua sedang menanam impian untuk mempunyai kaedah pencegahan penyakit tersebut yang selamat, berkesan dan mampu milik. Dan saya juga percaya bahawa kita semua masih percaya dengan vaksin.

Laporan dari page Pseudoscience Watch melalui laporan seorang pengguna media sosial facebook berhubung penipuan ahli homeopati yang menyediakan Vaksin alternatif cara homeopati. Kaedah ini dinafikan oleh majoriti badan homeopati dunia


Cuma, harapan kita semua adalah untuk mempunyai vaksin yang selamat, berkesan dan mampu milik. Mungkin kita cuba menafikan peranan vaksinasi setelah membaca pelbagai hujah di internet. Tetapi ia kekal dalam hati kita semua. Buktinya? Pendedahan Pseudoscience Watch memaparkan tindakan nakal sesetengan pengamal homeopathy Malaysia yang mencadangkan vaksinasi alternatif mengikut kaedah Homeopathy.  Penggunaan nosodes ini adalah tidak berasas dan bukan pengganti untuk vaksinasi[5].[vii]
 
Ayu, mentari senja sudah mula kelihatan. Kicau burung yang baru pulang dari kembara sedang bertenggek indah di dahan pokok berhadapan dengan bilik saya. Tidak lama lagi azan maghrib akan berkumandang. Dan saya pasti akan menerima sedikit masalah memandangkan masih belum menyediakan juadah berbuka puasa.

Sehingga bertemu lagi dalam surat surat seterusnya. 
Dr. Jacknaim
 

Catatan Penting: 

Bukti nyata bahawa Media Sosial dan Internet boleh menipu kita melalui kesilapan teknikal boleh dilihat melalui bab ini. Di mana, sistem rekod saya mendapati bahawa posting berkenaan AEFI di page Masyarakat Kena Tahu mendapat komen tidak lebih dari 500 komen. Akan tetapi, ia menunjukkan realiti berbeza. Penjelasan paling logik yang dapat saya kemukakan adalah alat komunikasi yang saya gunakan menyimpan cache post tersebut sebelum saya di ‘block’ dari page tersebut mengakibatkan saya tidak menerima update komen komen baru dari page tersebut. Saya memohon maaf secara terbuka dari pihak Ayu Raudhah di atas kesilapan teknikal tersebut.
Maasyaallah, hasilnya amat menggemparkan! Kini, hampir 1000 komen membanjiri posting tersebut. Selepas baca laporan masyarakat ini, mudah-mudahan membantu para ibu bapa diluar sana membuat pilihan. Apakah mahu vaksin anak atau tidak? Bancian ini membuktikan bhw laporan AEFI di Malaysia tidak diurus dengan begitu baik oleh pihak berwajib- Ayu Raudhah.



[i] Ayu Raudhah; https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=141933099561042&id=100012330575497
[ii] Wartawan Sinar Harian, "Bayi derita dakwa klinik cuai beri suntikan" 29 Ogos 2012,
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/bayi-derita-dakwa-klinik-cuai-beri-suntikan-1.79944
[iii] Ingatan kepada pembekal vaksin, arkib 20/11/2012, http://ww1.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121120/pa_01/Ingatan-kepada-pembekal-vaksin
[iv] Danielle Falconer, "British Implementation of Western Medicine in Malaysia and the Malaysian Reaction"
[v] Guidelines for the Pharmacovigilance on Safety of Vaccines in Malaysia, http://apps.who.int/medicinedocs/en/d/Js18592en/
[vi] Garis Panduan Farmakovigilans Keselamatan Vaksin,
http://www.pharmacy.gov.my/v2/sites/default/files/document-upload/garispanduan-farmakovigilans-keselamatan-vaksin-malaysia.pdf
[vii] Michael J Rieder, Joan L Robinson, "‘Nosodes’ are no substitute for vaccines", Canadian Paediatric Society