Ke hadapan kekasih hatiku Ayu Raudhah yang cantik menawan.
Semoga sentiasa diberi limpahan nikmat dan rahmat dari Allah.
Izinkan kekasih hatimu ini berkongsi luahan hati tentang satu peristiwa yang
terjadi antara kita beberapa detik yang lampau.
Aku duduk separa baring di atas katil. Kepalaku disandarkan pada katil, mataku ligat
memandang syiling. Fikiranku menerawang entah ke mana. Kedua kakiku digoyangkan
tanpa tujuan lantas menghasilkan tujahan angin yang memberi nyaman sel kulit
pehaku yang tercedera sewaktu duduk antara dua sujud pada majlis yang sangat
istimewa petang tadi.
Sesekali, bunyi gelang kakimu yang sedang bersolat sunat Nikah
mencuri tumpuanku dan aku lantas mematikan angan-angan yang memenuhi kepalaku
tatkala itu. Aku memandang dengan penuh rasa cinta perbuatanmu yang sedang
bersembahyang itu. Berkali kau mengajak aku solat bersamamu tetapi rasa malas
menyelubungiku. Mungkin kesan dari rasa penat yang terhimpun dan membesar
menjadi berpuluh kali ganda akibat dari usahaku menawan hatimu itu. Tidak senang untuk meyakinkan seorang
wanita yang begitu teguh berpendirian dalam menjadi seorang anti vaksin
hardcore menjadi isteri kepada doktor barat pro vaksin.
Selesai solat, kau duduk disebelahku. Sedikit malu-malu
biarpun meminta untuk dibelai. Dengan penuh gentleman, aku bersuara lembut dan
menggoda. Biar gaya seperti seorang kasanova tetapi hati setia pada yang satu.
“Sayang, nanti anak kita nak letak nama apa?”
“Tak tahulah, abang nak namakan anak kita apa?” Kau tersengih
malu. Masih belum gagal untuk kembali merenung mataku yang menampakkan bayangan
wajahmu itu.
“Hurm, kalau perempuan abang nak letak nama Lady Mary Wortley
Montagu tapi kalau lelaki, abang nak letak nama Edward Jenner”
“Amboi abang ni. Memang dasar Doktor Yahudi sungguh. Letak
nama anak pun berbelit-belit. Abang ni dah la kulit gelap. Masalah nanti bila anak
kita berkulit hitam tapi nama orang putih. Tak ke susah saya nak yakinkan orang
ramai yang mereka tu anak abang?”
Fuh, sikap melawan masih menebal. Lantas aku perlu menukar
strategi.
“Sayang, macam mana kita nak besarkan anak-anak kita nanti?”
“Hurm, sayang nak bagi full breast feeding dekat diorang nanti
boleh? Sampai umur dua tahun.”
“Alahai sweet nya isteri abang ni. Confirm abang sokong 100%!
Itu kan ajaran Al Quran. Lagi? ”
Ayu menarik nafas sedalamnya. “ Saya nak anak kita diberi
makanan sunnah. Kita amalkan bersarapan dengan makan kurma dan minum madu di
pagi hari, masak menggunakan minyak zaitun, kalau batuk minum Habbatus sawda
dan macam-macam lagi lah. Jangan bagi mereka makan Mc Donald, Cikedis, Pizza
Hut atau ais cendol!”
“Hurm, bagus tu. Abang ni berpendidikan barat. Tapi tetap nak
ikut sunnah. Abang setuju.” Balasku dengan penuh ikhlas, tiada niat untuk
membodek golongan anti vaksin.
“Ala sweet nya abang ni. Nak ikut sunnah. Ni ayu sayang dekat
abang ni.” Kau mula rancak berbicara. Sudah tidak malu-malu seperti awal tadi.
“Ya, abang nak ikut sunnah. Abang nak kahwin empat orang
boleh?” Soalku.
Panggggg!
Pipiku terasa pedih, pandangan ku mula gelap, jantungku
berdegup pantas, peluh merenik membasahi dahi. Satu momentum berlagu.
Dum!
Aku tersedar. Ku sangkakan tamparanmu tadi begitu kuat hingga
aku terjatuh dari katil. Rupanya itu hanyalah mimpiku. Entah kenapa aku
terbaring di lantai?
Bila nak saksi kau datang terkulai?
Bila nak saksi kau datang membelai?
Bila nak saksi cintaku sampai?
Kau masih belumpun kupunya
Rinduku masih kau tak peka – Spider, Bila Nak Saksi.
Kekasihku Ayu Raudhah,
Saya tidak pernah menolak
saranan yang dikemukakan oleh sahabat ayu, Abu Hannah. Kata orang, jangan
tengok siapa yang beri nasihat tetapi tengoklah kandungan nasihat itu. Biarpun
abang secara logiknya merasa pelik dengan kecelaruan fakta dan terdapat jurang
perbezaan level of knowledge dalam
setiap post di facebook nya, tapi abang tetap hormati pendapatnya tentang
makanan berkualiti, halal dan terbaik. Abang yakin, makanan yang terbaik pasti
akan menjadikan tubuh badan kita sihat.
Dulu abang pun obes.
Dengan berat 135 kg dan muka seperti kambing, pasti Ayu tak kan layan mesej
abang punya!
Membaca saranan Abu Hannah
membuatkan abang bersetuju dengan sesetengah saranan beliau. Tapi akhirnya
abang mendapati bahawa Abu Hannah bukanlah seorang idola agung atau contoh
figur parenting terbaik kerana
rupa-rupanya pengendali page Abu Hannah ni ramai. Jadi abang pun ragu-ragu dan
risau. Bukan apa, takut kalau abang ikut
saranan mereka nanti, abang tak tahu nak mohon maaf dengan siapa.
Oh saya dapat komplikasi
akibat tidak mahu vaksinkan anak-anak dan ikut perubatan homeopathy sebab ikut
saranan Abu Hannah! Abu Hannah tu kan, dia bla bla bla bla. Eh, Abu Hannah mana yang abang nak salahkan ni?
Ayu Raudhah yang dihormati,
Sebelum meneruskan bicara, eloklah segala kekhilafan dibuang
jauh dari perhubungan kita. Ternyata saya berulang kali membahasakan diri
sebagai abang kerana masih terpengaruh dengan mimpi yang mana kita sudah
berkahwin dan sedang berta’aruf menghilang resah di malam pertama. Jadi izinkan
saya berhenti membahasakan diri sebagai abang.
Biarpun mimpi tentang kita sudah tamat. Tapi ada sesuatu yang
masih belum tamat. Yang ingin saya nyatakan pada Ayu dalam mimpi tadi tetapi
tidak berkesempatan akibat terlebih dahulu tersedar akibat penampar batin Ayu.
Tangan yang menampar saya itu lah yang selama ini begitu gigih menekan kekunci
keyboard dan menjadi sedikit nakal.
Saya setuju kaedah membesarkan anak yang ingin Ayu (isteri
dalam mimpi) lakukan. Tapi, saya menaruh harapan yang lebih besar kepada
anak-anak saya nanti.
Antaranya adalah, saya mahu anak saya nanti membesar menjadi
seorang pejuang yang tidak gentar menyatakan keberanian. Dan saya berhajatkan
saat di mana saya dapat berkata kepada dunia bahawa saya tidak malu untuk
belajar dari seorang kanak-kanak. Akan tiba masa di mana saya mungkin tersilap
dan anak kecil saya akan menyatakan kebenaran yang terpendam. Dan dengan penuh
rasa rendah diri saya akan berkata,
“Wahai anakku, kamu betul dan kamu telah menghancurkan tembok keegoan ayah dengan ilmumu.”
Si anak kecil bernama Musa pernah meruntuhkan kejahilan
manusia bernama Firaun. Maka saya benar-benar berharap agar Ayu dan rakan rakan
dapat berlapang dada dengan Marco Arturo. Seorang kanak-kanak warga Mexico yang
berusia 12 tahun. Bahasa Inggeris adalah bahasa keduanya. Bererti dia terpaksa
bekerja keras dan keluar dari zon selesa. Anak kecil ini sangat
bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan berusaha sedaya mungkin untuk
memahami sesuatu ilmu termasuklah perihal vaksinasi.
Beliau telah menghasilkan satu video pendek berjudul Vaccines Do Cause Autism yang mendapat
respons meluas dari seluruh dunia. Paling menarik, ia membawa kepada respons
golongan anti vaksin yang berselindung disebalik identiti rahsia.
Ayu yang disayangi, terdapat beberapa ciri yang saya
perhatikan dengan Ayu berdasarkan hubungan pendek kita ini. Dan saya dapati
bahawa Ayu mempunyai ciri tipikal blogger gerakan anti vaksin seluruh dunia.
Golongan Aktivis Gerakan Antivaksi adalah seorang pembuli
media. Demi untuk merencanakan sesuatu agenda , mereka bersembunyi di sebalik
akaun palsu. Supaya mereka bebas membuat serangan peribadi, memaki, menyebar
dakyah palsu, membuat public humiliation
terhadap golongan pro vaksin malah menabur fitnah. Apabila kegiatan jahat
mereka diketahui dan tembelang mereka pecah, maka mereka akan segera menutup
akaun dan membuka akaun yang baru pula. Kitaran ini akan sentiasa berlaku dan
orang seperti Ayu Raudhah akan sentiasa terlepas dari menerima penghakiman yang
setimpal dengan perbuatan buli itu.
Seorang saintis dan blogger yang sudah berjuang hampir 12
tahun menentang golongan anti sains atau pendukung Sains Palsu (Pseudoscience)
turut mengakui kebenaran ini dan bercerita tentang pengalaman peribadi beliau
dibuli oleh golongan anti vaksin yang kalah dalam berhujah. David Gorski atau
dikenali dengan nama pena Orac menjelaskan kejadian buli itu seperti berikut
[1].[i]
They use a variety of
methods to attack. One of their very favorite methods of attack when faced with
a pseudonymous blogger is to do everything they can to “out” him or her,
revealing name and place of employment, so that they can harass him or her at work.
I’ve been subject to this sort of treatment multiple times over the last 11
years, most recently by one of the quackiest of all Internet quacks, who has
intentionally dragged my cancer center into his attacks on me, trying to link
me to a criminal oncologist who was convicted of Medicare fraud for making tens
of millions of dollars administering chemotherapy to patients who didn’t need
it, many of whom didn’t even have cancer. Back in 2010, I was subjected to a
letter-writing campaign to the dean and board of governors of my university to
try to get me fired. Fortunately, in both cases, my university and cancer
center stood by me. Another favored method is to abuse Facebook reporting
algorithms to get Facebook to issue temporary bans to pro-science vaccine
advocates. They even brag about how they do it. Cyberstalking and harassment
are their modus operandi. Don’t believe me?
Saya benar-benar berharap agar Ayu tidak bertukar menjadi
golongan anti vaksin yang sebegitu. Saya sendiri menerima pendapat golongan
anti vaksin berhubung pendirian mereka untuk tidak memberi suntikan imunisasi
kepada anak mereka. Hal ini akan saya kongsikan dalam bab seterusnya.
Kenapa saya risau Ayu jadi begitu. Kerana penelitian saya
terhadap komen balas Ayu Raudhah pada laman facebook saya tidak langsung
menjawab perbahasan sebaliknya membuat serangan peribadi atau harrassment kepada pengguna sosial
media.
Oleh yang demikian, saya menghargai page Pseudoscience Watch yang memaparkan counter argument terhadap
golongan Anti Sains atau Pseudoscience ini. Rational disebalik menyembunyikan
identiti diri mereka adalah wajar untuk mengelakkan pembulian melalui media
sosial oleh golongan anti vaksin yang tidak bertanggungjawab.
Sewaktu admin page Pseudoscience
Watch menghubungi saya lama dahulu berhubung isu kelambakan doktor palsu
dan penipuan teknik rawatan berbentuk scam, mereka telah terlebih dahulu memaklum
saya akan risiko dibuli dalam media sosial andai saya menggunakan identiti
sebenar dalam menjawab segala dakyah palsu golongan anti sains atau
pseudoscience ini. Bahkan mereka turut menyampaikan rasa bimbang apabila saya
mula menulis buku berkenaan Medical Marijuana. Ini berlandaskan pengalaman
mereka yang beberapa kali diserang oleh golongan penagih yang mahu menghalalkan
ganja di Malaysia. Penulisan buku tersebut saya hentikan di pertegahan jalan.
Walaubagaimanapun, hasil perdebatan dengan seorang penggiat
buku alternatif yang terlibat dalam penggunaan ganja di Pesta Buku Antarabangsa
Kuala Lumpur 2016 baru baru ini telah meniup sedikit kekuatan untuk saya
kembali menulis buku tersebut.
Saya sedar akan risiko untuk menerima lebih banyak serangan
dan buli dari golongan ini. Adalah tidak hairan, segala maklumat tentang saya
akan didedahkan di media dan ia mungkin boleh menyebabkan kehilangan
nyawa. Andai suatu hari nanti keluar
apa-apa kenyataan, gambar atau tuduhan buruk terhadap saya, maka saya nyatakan
disini bahawa ia boleh terjadi. Saya tidak pernah hairan dengan semua itu
kerana saya tidak akan sesekali mengangkat bendera untuk mengatakan bahawa saya
orang baik, beriman, alim atau beragama maka jadikan saya sebagai idola! Tidak.
Mereka yang kenal saya sejak dari kecil pasti tahu bahawa saya
bergaul dengan semua orang demi untuk mematangkan gaya pemikiran saya. Tidak
ada rahsia kepada semua pihak tentang penglibatan saya dengan budak-budak nakal
seperti skinhead kerana semua itu ada dinyatakan dalam buku saya berjudul
PROgnosis dan MORtuari yang diterbitkan oleh DuBook Press Sdn Bhd pada tahun
2015 dan 2016.
Hasil dari ‘pergaulan’ dengan mereka membolehkan saya memahami
sebab disebalik kebejatan yang berlaku. Malah ia juga mengubah persepsi saya
tentang pegangan ho·li·er-than-thou yang
turut menjadi barah kepada sesetengah golongan kita termasuklah saya pada suatu
ketika dulu. Pergaulan ini membantu
saya menemui banyak jawapan seperti kenapa seseorang itu menjadi pelacur,
taktik lelaki berhidung belang dalam memperdayakan anak gadis bagi meniduri
mereka, penindasan golongan kelas pekerja dan sesetengah kes berprofil tinggi
yang tidak boleh dibicara kepada umum.
Kesemua itu membuatkan gaya penulisan saya lebih banyak
mengangkat tema tentang masyarakat kelas ketiga atau bottom societies. Saya
percaya bahawa setiap dari kita harus mula belajar untuk berbicara secara
matang.
Yang membezakan sesuatu perbezaan matang dengan tidak adalah
dengan membahaskan hipotesis, huraian hipotesis, methodologi dan kecelaruan
fakta sesuatu isu. Orang yang matang akan berani mengakui kesalahan mereka
sekiranya wujud.
Itu adalah pendirian saya berhubung kes sahabat Ayu Raudhah
iaitu Abu Hannah. Berbulan lamanya saya menunggu jawapan balas Abu Hannah dalam
satu perdebatan antara saya dan beliau di laman facebook sahabat baik saya
iaitu Ustaz M.D Hafiz Afandi. Ketika itu kami berdebat tentang isu Homebirth
ataupun Kelahiran Amani yang dipelopori oleh golongan yang seakan bertindak
sebagai Pro Choice.
Sehingga kini, cabaran tersebut tidak pernah berjawab
sehinggalah Abu Hannah meluputkan akaunnya dan kini membuat akaun baru pula.
Kesemua ini membuat saya berfikir dan sedar bahawa perbahasan dengan golongan
ini adalah sia-sia dan membazir masa.
Akan tetapi, mereka menimbulkan ancaman yang cukup besar pada
masyarakat seluruh dunia. Teori konspirasi contohnya banyak mengangkat tema
agenda Freemason dalam menjatuhkan agama Islam. Lucu ataupun tidak, tema
berhubung Teori Konspirasi ini juga wujud dalam agama Kristian, Yahudi, Buddha
dan Cina. Ia tidak ekslusif pada satu agama atau bangsa sahaja. Ini kerana,
teori konspirasi wujud apabila golongan anti sains atau golongan anti-berfikir-secara-mendalam mencari
alasan untuk melepaskan diri mereka apabila tidak dapat menjawab persoalan yang
ditimbulkan.
Apabila mereka kalah berhujah, mereka lebih cenderung menyalahkan
entiti lain demi untuk mengekalkan pendirian mereka biarpun terbukti salah.
Sayangnya, masyarakat kita cukup gemar dengan segala teori
konspirasi ini. Bahkan, buku buku tulisan tokoh teori konspirasi dicetak oleh
penerbit buku mainstream. Malah, tokoh-tokoh pendokong teori konspirasi turut
dijemput untuk berceramah di Malaysia atau diwawancara oleh stesyen Televisyen.
Kita harus mula belajar dari anak kita. Disebalik tajuk bab
ini, ada makna yang cuba saya huraikan. Contoh yang saya kemukakan iaitu
tentang Marco Arturo adalah satu bukti kesungguhan menuntut ilmu dalam
kanak-kanak. Isu yang dibawa oleh Marco tentang vaksinasi dan Autism ada saya
jelaskan secara superfisial dalam bab sebelum ini dan akan dibahas secara
mendalam dalam bab seterusnya.
Akan tetapi, ada
sesuatu yang jauh lebih penting dan harus kita belajar dari anak kita.
Iaitu satu keinginan untuk menerokai dunia, himpunan seribu
soalan untuk mengetahui bagaimana alam berinteraksi dengan entiti di dalamnya
atau naluri untuk mencuba dan membuat eksperimen. Sayang sekali, sifat ini hilang sebaik sahaja
kita meningkat dewasa dan lebih cenderung untuk menerima sesuatu idea secara
bulat- bulat.
Kekasihku Ayu Raudah,
Saya mesti terus mengambil inspirasi anak kecil. Membuat lebih
pembacaan dan kajian dan seterusnya berkongsi penemuan tersebut dengan para
pembaca. Saya memilih untuk menulis karya berbanding melakukan perdebatan satu
lawan satu dengan Ayu ataupun kawan kawan Ayu.
Perdebatan tidak akan menguntungkan sesiapa tetapi penulisan karya ini
akan kekal sebagai bukti kewujudan masalah ini andai saya sudah meninggal dunia
nanti.
Saya juga berharap agar Ayu dapat bersama-sama saya sehingga
tamatnya perjuangan ini. Ayuhlah kita sama-sama berbahas fakta melawan fakta
dan berusaha untuk mencari kebenaran.
Bersama-sama kita belajar dari anak kecil,
Sambil meneladani pengajaran dari Ramadhan,
Moga kebenaran menjadi milik kita.
Dr Jacknaim.
[i]
Orac, "Antivaccine activists gleefully attack and dox a 12-year-old boy
who made a pro-vaccine video" 8 June 2016,
http://scienceblogs.com/insolence/2016/06/08/antivaccine-activists-gleefully-attack-and-dox-a-12-year-old-boy-who-made-a-pro-vaccine-video/